Selasa, 12 September 2017

Lat the Storyteller


Aku melukis. Aku memang suka melukis. Cantik tak cantik belakang kira. Aku menganggap dan merasakan aku seorang artis. Walaupun ramai tak setuju, tapi itu pendapat peribadi. Aku melukis.

Aku mula melukis sejak kanak-kanak lagi. Aku tak tau sejak umur berapa, tiada ‘hari bersejarah’ dan titik mula yang jelas, tapi aku ingat ketika berumur 8 tahun, aku melukis watak-watak ciptaan Lat dari Keluarga Si Mamat setepat-tepatnya. Berwarna-warni menggunakan magic colour. Aku meminati karya Datuk Lat. Aku ada 2 orang cartoonist yang aku minat, Ujang dan Datuk Lat. Aku baca karya Datuk Lat sejak dibangku sekolah lagi. Ibu bapa aku tidak pernah ketinggalan memiliki buku-buku collection Datuk Lat. Walaupun kini sudah terlerai-lerai dan sedikit lusuh, koleksi ini masih tersimpan rapi di rumah. 


Datuk Lat semua rakyat Malaysia kenal. Semua orang pernah tercuit oleh hasil karyanya. Watak-wataknya adalah kita rakyat Malaysia. Maka watak-watak itu dekat dengan kita. Kita mudah tersenyum dan relate pada gelagat mereka. Datuk Lat pandai melukis dan strokenya, detailingnya dan pemerhatiannya amat mengagumkan. Mungkin pengalaman Datuk Lat sebagai seorang reporter membantu. Mungkin pure talent.

Namun, bagi aku, mengatasi segala itu, Datuk Lat merupakan seorang storyteller yang baik – kalau tidak yang terbaik. Cara penceritaannya mudah namun menarik. Ayat-ayatnya pendek dan ilustrasinya mengagumkan. Segenap inci aku teliti.

A few of Lat's original collection


KEKUATAN WATAK
Sebagai salah seorang tenaga pengajar animasi di sini, aku banyak membaca perihal watak dan penceritaan (character and storytelling). Dua topik yang sering didebatkan dalam penghasilan animasi. Banyak buku dan artikel yang membincangkan perihal ini. Watak, plot, story arc, emosi dan konfik adalah elemen asas merangka satu cerita yang bagus.

Namun ada juga pendapat yang mengatakan character is king, bertentangan dengan pendapat popular dari Pixar - story is king. Watak, sebenarnya adalah asas kepada penceritaan yang bagus. Satu watak ciptaan perlu mempunyai sifat, kekuatan atau kelemahan untuk meraih simpati dan empati (empathy) dari pembaca atau penonton. Empati adalah kebolehan meletakkan diri dalam kedudukan orang lain. Watak yang dilakonkan atau dicipta perlu dirasai dan dijiwai oleh penonton dan pembaca. Ini satu ciri watak yang berjaya. Sifat inilah yang membuatkan audien tersenyum, turut gembira dan menangis dalam melihat watak itu kesedihan. Dalam Town Boy, Datuk Lat telah berjaya menyuntik elemen ini pada watak utamanya Mat. Mat melalui hidup sebagai seorang budak bandar pada umur 10 tahun. Berasal dari kampung, Mat kini bersekolah dan bersosial dalam situasi yang berbeza dari sebelumnya. Kehidupan bandar juga telah menemukan Mat dengan Frankie, yang kemudiannya menjadi kawan baiknya, seorang berbangsa Cina. Perjalanan hidup Mat dari sekolah rendah ke sekolah menengah telah diolah dengan baik. Minatnya, perasaan dan cita-cita turut terkongsi bersama penonton. Pengakhiran cerita Town Boy ini berjaya menimbulkan satu rasa kehilangan pada pembacanya.

Mat Som merupakan satu lagi karya Datuk Lat yang hebat penceritaannya. Watak utamanya Mat Som juga merupakan penggerak dan tonggak jalan cerita itu. Aku ingat aku baca cerita ini di zaman sekolah menengah. Aku rasakan hidup menyewa dicelah KL, kekangan duit dan kerja yang stress itu bagaikan satu yang trendy. Aku bagai menginginkan kehidupan seperti Mat Som bila kerja kelak. Aku juga mula baca sajak-sajak (sebulan dua saja) dalam Mingguan Malaysia untuk menjadi lebih ‘orang seni’. Kuat wataknya !

Frame terakhir Town Boy sangat kuat.

Town Boy dan Mat Som sebenarnya adalah cerita mudah mengenai kehidupan seorang anak kampung yang berhijrah ke bandar. Satu cerita yang ramai anak Malaysia telah melaluinya. Cerita-cerita seperti ini, bagi aku, bukan senang untuk menarik minat. Ini cerita realiti kehidupan harian. Ini bukan fantasi. Tak ada magis, lighsaber atau spaceship. Namun Mat Som yang terbit pada tahun 1989 itu masih terjual di gedung buku dan, Town Boy yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1979 ini telah, sehinggakini, diulangcetak sebanyak 16 kali !

Kuatnya penceritaan Town Boy ini sehingga aku, seringkali melalui negeri Perak untuk ke utara akan rasa teringin melawat Stesen Keretapi Ipoh dan Sekolah Anderson.


SUB-CERITA 
Penceritaan bukan sahaja dialog yang dilontarkan atau gerak badan yang lakonkan. Penceritaan juga boleh disampaikan melalui permandangan latar dan sekitarnya. Untuk memperkuatkan watak seorang kaya yang rakus umpamanya, watak itu haruslah berkereta mewah. Ini adalah sub-penceritaan. 

Kita, secara sedar atau tidak, mesti pernah terpengaruh oleh iklan-iklan yang diletakkan dalam filem, secara bawah sedar (subliminal advertising). Jenama utama dunia akan berbelanja besar untuk meletakkan produk mereka dalam filem (product placing). Terkini, mempromosikan budaya melalui imagan dalam animasi dan mainan digital (game) secara bawah sedar (subliminal) merupakan satu usaha yang kian dititikberatkan. Pemain mainan digital Final Fantasy XV akan berpeluang untuk melihat roti canai, satay dan teh tarik telah dimasukkan antara makanan yang terjual di bandar Lestallum dalam permainan digital ini.


Datuk Lat telah lama ‘menjual’ dan mempromosikan budaya Melayu dan Malaysia dalam lukisannya. Secara langsung mahupun tidak. Melalui karyanya Perak Wedding yang diterbitkan pada tahun 1974, Datuk Lat bercerita secara langsung satu budaya perkahwinan yang unik dari Perak. Melalui Town Boy, kopitiam, kedai gunting rambut, suasana pasar, kapal korek dan bangunan Stesen Keretapi Ipoh (dibina pada tahun 1917) telah dipromosikan secara tidak langsung. Boleh saja babak berbasikal ini dilukis secara close-up. Hanya tertumpu pada pelakunya. Namun, Datuk Lat memilih untuk mencari sisi yang lebih menarik. Sisi dari dalam kedai gunting rambut. Ini bercerita dalam cerita: sub-cerita.
Dalam The Kampung Boy, 1979, amalan, adat dan adab orang Islam Melayu jelas ditunjukkan dalam babak mengazankan anak baru lahir, bercukur jambul, perkahwinan dan berkhatan. Salah satu babak pula mengisahkan hal suami yang turut berjoget lambak di satu majlis perkahwinan. Ini mengundang malu pada isterinya. Malam itu, sang isteri menegur suaminya bukan di khalayak ramai. Malah ditegur setelah jauh malam dan anak-anak telah tidur. Ini adalah sebaik-baik akhlak yang di’jual’ oleh Datuk Lat. Buku The Kampung Boy ini telah dialih bahasa ke bahasa Portugis, Perancis dan Jepun. Ia juga dijual di Brazil, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat. Satu lagi budaya yang mungkin biasa bagi kita adalah, bagaimana diceritakan ketegasan seorang ayah, ibu dan ustaz menggunakan rotan dalam mendisiplinkan dan mendidik anak. The Kampung Boy memasukkan adegan ibu mengejar anaknya dan seorang ustaz melibas rotan amaran. Dalam satu senario lain, Mat yang ‘mencuri’ timah dari kawasan lombong menaikkan darah sang Ayah. Dilakarkan aksi kejar mengejar dan muka ayahnya amat bengis sekali! Namun dalam buku yang sama juga, Ayah itu ditonjolkan sifat playfulness dan penyayangnya. Marah dan rotan hanya bila perlu. Cara ini mungkin terasing bagi pembaca luar Asia.

Dalam Mat Som pula Datuk Lat telah merakamkan hampir seluruh norma kehidupan kota ketika itu, dari warung tepi jalan beratap kanvas poster filem Hindustan, teksi dengan meter analog dan kipas kecil pada dashboardnya,  bas awam yang sesak hinggakan ke senario hujan lebat dan air mula naik. Bukan sahaja menjadi sub-penceritaan, malah lukisan Datuk Lat dalam Mat Som adalah perakam suasana KL pra milenium. Pembaca generasi baru mungkin tidak boleh relate pada telefon awam atau Panggung Anniversari, Tasik Perdana lagi.

Bagus pintu rumah ini.



WATAK DAN PENCERITAAN
Kedua-dua watak dan penceritaan merupakan elemen penting dalam penghasilan satu cerita yang bagus. Cerita yang bagus tanpa kekuatan watak juga tidak mungkin berkesan. Watak yang bagus perlu ada cerita pada dirinya. Datuk Lat telah berjaya meletakkan watak-watak yang berkesan dalam mengangkat ceritanya. Penceritaannya juga tidak kurang hebat bukan saja dari segi penulisan  malah lakarannya juga.


Datuk Lat tidak dapat dinafikan telah banyak menyumbang kepada perkembangan kartun di negara ini. Lukisannya halus terpeinci. Pemilihan topik dan pengolahan watak dalam karyanya amat Malaysian dan penceritaannya amat menarik. Selepas ini, jika ada critics, bloggers atau penulis yang ingin membuat senarai Malaysia’s All Time Best Stroybook, jangan lupa Kampung Boy, Town Boy atau Mat Som. Semestinya Datuk Lat adalah seorang storyteller yang hebat. 



*Artikel ini juga muncul dalam HILANG TAK BERGANTI (ISBN 978-983-2538-36-3 )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan