Isnin, 13 Jun 2016

Ajep dan Filem Animasi Terbaik Asia Pasifik

Ajep bergaya Menteri Menafikan.
MARDI terletak di area Serdang, Selangor berdekatan UPM. Jalannya pun dinamakan Persiaran UPM-MARDI menandakan kewujudannya lama sangat dah di situ. MARDI merupakan satu agensi kerajaan yang fungsinya sekitar bidang pertanian dan penyelidikan. MARDI umum tahu, ada MAEPS. Satu tempat ekspo di Serdang yang dulunya terkenal kerana MAHA. Sekarang bukan sekadar MAHA, pesta buku, jualan raya, ekspo education, comic-con, fiesta tudung, bazar hipster pelbagai sudah dijalankan kat MAEPS. Namun umum tidak tahu, MARDI mempunyai seorang pegawai tadbir yang suatu ketika dulu merupakan award winning animator - regional level..!



Sekali lagi ASWARA, dalam mengumpul data berkenaan sejarah animasi Malaysia telah berjaya track down seorang somebody dalam sejarah animasi Malaysia. Aku, Encik Ki dan sekumpulan pelajar telah bersungguh ke MARDI untuk berjumpa saudara Jefri. Jefri Adam atau lebih dikenali dengan nama Ajep sekarang merupakan seorang pegawai tadbir (pereka) di pusat penerbitan MARDI. Satu ketika dulu Ajep pernah almost single handedly animate sebuah video klip ‘Bangau Oh Bangau’ dan hasilnya telah menang anugerah Filem Animasi Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik ke 46 di Jakarta (FFAP 46) pada tahun 2001. Wow !





Ajep Awal-Awal
Ajep lahir di Hulu Langat Selangor. Mula melukis dan berkartun sekitar umur 17 tahun. Karya-karya awalnya muncul di tabloid Mingguan Perdana, kemudian majalah Mat Jenin dan Geli Hati. Ajep sekarang berumur 50 tahun.

“Baru 50, 28 lima hari tu baru 50,” kata Ajep. Rambut dia aku tengok masih hitam, pekat, lebat dan muka dia pada mata aku ada iras-iras Superman yang 2D animated series tu. Kurang nampak macam 50.

Infact ada jugak iras-iras Batman kat belakang Ajep tu.
“Lepas SPM kantoi kali pertama, saya cari makan dengan melukis kartun la,” terang Ajep.

Pada tahun 1984 Ajep mula bekerja untuk majalah Batu Api. Ketika itu arwah Zoy, Nan, Juragan, Miki, Yusna, Bidi, Bawang, Azmi, Helmi (Mie) & Kimo antara kartunis yang sama bekerja di situ. Selain seorang kartunis, Ajep juga merupakan seorang pereka grafik untuk Majalah Kancil, bawah satu penerbit dengan Batu Api. Seterusnya Ajep ke DBKL sebagai seorang pelukis pelan pada tahun 1986. Di DBKL Ajep ada mention pasal boss nya yang telah memberi galakan untuk terus mengasah minat. Ruslin Hasan kata Ajep.

Aku yang penuh uban sedang tekun mendengar kisah Ajep.
Aku angguk paham dan setuju semuanya.

“Ruslin.. Encik Ruslin yang pernah jadi ketua pengarah DBKL..” terang Ajep bangga. Aku angguk macam kenal. Memang masa tulis artikel ni aku check dan Dato' Hj. Ruslin Hj. Hasan merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur ke tujuh satu ketika dulu.

Ini bukan boss, ini leader. And must have been hell of a leader hinggakan orang bawah kenang sampai sekarang.

Kembali kisah sejarah Ajep, maka di waktu malamnya Ajep banyak menghabiskan masa melukis komik dan menghasilkan illustration untuk buku kanak-kanak. Cerita berkartun dan berillustrasi Ajep memang meriah. Majalah Bambino, Humor dan Geli Hati. Penerbit buku sekolah seperti Long Man, Fajar Bakti, Eastview, Edu System, DBP, Utusan dan Berita Publishing. Ini semua nama yang semua pelajar sekitar tahun 90an akan kenal. Big names. Pop culture. Skill Ajep bukan calang-calang lah. Irony nya karyanya tidak pernah dilayan oleh Gila-Gila.


Sebahagian dari work illustration Ajep.

Karier Di Filem Negara
Tahun 1993 Ajep masuk ke Filem Negara Malaysia (FMN). Filem Negara Malaysia masa era tu terkenal dengan animated PSA nya. (PSA - Public Service Announcement) Ajep pernah tengok Sang Kancil & Buaya dan sangat teruja ‘Oh ! Malaysia pun boleh buat !’ fikirnya.

“Sinilah satu-satu tempat yang saya boleh gerakkan kartun saya,” Ajep terfikir.

Sejak hari itu Ajep memang dah target nak join Filem Negara. Maka, bilamana keluar iklan jawatan kosong, Ajep memang tak lepas. Dipanggil interview untuk jawatan pereka, Ajep menceritakan bagaimana beliau agak nervous bila disuruh melukis. Ada dekat 200 orang dalam dewan masa tu dan jawatan yang ada hanya 1. Temuduga untuk jawatan pereka memerlukan calon melukis dan melakar berdasarkan soalan diberi. Takdir, skill, luck, rezeki dan segalanya telah bergembeling menentukan Ajep dapat jawatan pereka di FNM.

Ajep diserap masuk ke unit senireka yang diketuai oleh Hassan Muthalib masa itu. Unit animasi masih belum ada di FNM. Selama ini memang animasi dibuat oleh unit senireka. Kerja utama diorang memang buat grafik tapi bila takde kerja diaorang akan buat animation. Naturally pereka-pereka sana bukanlah animator. Dan ini ada effect pada animasi yang dihasilkan. Terang Ajep dalam pemerhatiannya.

Hassan bagaimanapun, menurut Ajep adalah seorang animation enthusiast. Selalu mengajak team pereka di unit senireka itu untuk menghasilkan animasi. Namun, bila kerja asasi mereka bukanlah animation dan takde real team, memang susah la nak produce animation berkualiti. Celluloid mahal dan proses animasi 2D ketika itu renyah dan susah.

Ajep pada mulanya tidak dibenarkan untuk animate.. Hassan ada satu pegangan - Faham grafik dulu ! Bila faham cara design, bila faham proses animasi dan penggunaan camera, baru boleh animate. Namun sifat banyak bertanya dan minat, Ajep pick-up jugak skill tu sikit-sikit. Dan sebenarnya dia juga ada moonlight bersama produksi Anak-Anak Sidek.

Unit animasi FNM akhirnya tertubuh pada 1999. Ketika itu Hassan sudah pencen dan Roslan Jaafar menjadi head unit animasi itu. Dan setelah itulah Ajep baru dapat peluang animate. Pada tahun 1999 juga, FNM dah mula pakai computer. Ajep, in short, terlepas peluang animate pakai cell.

Sketches dan karyanya dalam majalah Tombi.



Bangau Oh Bangau
Al kisah award winning entry Bangau Oh Bangau bermula semasa Hassan Muthalib menjadi head unit senireka lagi. Dia bersama pekerja unit senireka lain (kecuali Ajep) telah hampir menyiapkan keseluruhannya. Tapi belum sempat siap sepenuhnya, Hassan dah pencen. Maka projek tu tergantung. Ajep memang dok geram kat production Bangau Oh Bangau ni. Animasinya dirasakan boleh diperbaiki lagi.

Jadi bilamana tertubuhnya unit animasi, peluang untuk propose membuat semula Bangau Oh Bangau terbuka luas. Ketua Pengarah FNM menerima cadangan Ajep dan jerih perih Bangau Oh Bangau pun bermula. Mengambil konsep arahan asal Hassan, Ajep telah membuat sikit penambahbaikan pada story board dan character.

Bangau Oh Bangau ini telah dibuat menggunakan Photoshop dan Premiere sepenuhnya. Itu bukanlah software animation tapi itu saja yang ada. Ajep, selain di FNM dia juga ada buat freelance animate untuk Anak-Anak Sidek. Di situ juga dia belajar banyak pasal 2D animation ni. Bilamana asas itu kukuh, aku rasa apa software apa cara pun, boleh je nak animate.

“Jadi saya lukis black & white, saya scan dan saya paint dalam photoshop, satu satu saya paint” jelas Ajep.

Background juga dihasilkan dan di compose dalam photoshop. Lip sync pula menggunakan kaedah try & error dalam premiere. Setiap dialog akan ditambah kurangkan frame menurut kesesuaian. Namun proses mewarna setiap frame bukanlah mudah. Ajep dah tak tahan dan akhirnya mintak tolong kawannya di situ, Qhazali nama dia. Ajep mengaku kalau Q-li (dia sebut Q-li aku tulis je la) tak tolong memang tak siap la. Setelah berlelah beberapa lama akhirnya usaha gigihnya membuahkan hasil pada hujung 2000 / 2001.

“Tak, sebelum tu saya ada buat Telur Sebijik Riuh Sekampung namanya. Itu memang teruk la.. First try saya buat,” kata Ajep. “Jadi Bangau (Bangau Oh Bangau) ni filem saya yang ke dua saya buat.”

Laporan yang memberi pengiktirafan pada
Ajep sebagai juruanimasi Bangau Oh Bangau.

Keratan akhbar yang mengurangkan pahala
puasa kami hari itu.

Tahun 2001 Ajep telah dihantar ke ArtFarm Studio di Filipina selama 2 bulan untuk berkhusus. Aku bawak Q (dia sebut Q pulak, aku tulis je) ni sekali dengan aku sebab dia banyak tolong aku. Maka di sana mereka banyak berilmu pasal animasi 2D dan principle of animation. Filipina punya animation industry memang jauh lebih maju dari kita. Google-google tengok, diorang dah lama buat IB untuk kartun-kartun dari studio US. Lat Kampung Boy pun buat sana kalau tak salah aku.

Bangau Oh Bangau telah diangkat ke Festival Filem Asia Pasifik ke 46 di Jakarta (FFAP 46) pada tahun 2001. FNM hampir tidak jadi hantar Bangau Oh Bangau kerana ada staff yang mempertikaikan ‘kenapa Bangau ni ada gigi ?” Mungkin berseloroh, mungkin tidak, yang pastinya Bangau Oh Bangau telah memenangi anugerah  Filem Animasi Terbaik tahun itu menewaskan ‘Cheritera’ terbitan Matahari Animation & Production, KL dan A Chick of Fairy’s Tale terbitan Animation Film Company, Hanoi di saringan akhir.

* Matahari Animation ni pun nak kena carik ni.. Siapa ada info mohon bantu ye.

Kejayaan animasi hasil tangan Ajep telah memberi keyakinan dan semangat baru. Ajep, ketika itu sudah mempunyai 3 anak, mula merancang itu ini begitu begini bagi animasi FNM. Dia sangat positive ketika itu. Bangau Oh Bangau hendak diteruskan sebagai animasi bersiri dan satu benda baru - Farid, Nathan & Meng juga dicadang sebagai satu siri animasi bersiri. Namun kedua-dua cadangan Ajep tidak diterima oleh FNM. Ber positive thinking, aku sure FNM masa tu ada kekangan dan priority yang lain. Maka proposal tinggal proposal.


Copy paste link bawah untuk melihat hasil animasi yang diperkatakan
https://www.youtube.com/watch?v=sGPrAnmSyvU


Idea mantap Ajep untuk Filem Negara Malaysia
yang tidak ter-realisasi.
Ajep Ke Mardi
Setelah proposalnya tidak terlayan, cliche cerita artisan dan perjuang seni lain, Ajep rasa kecewa dan agak merajuk. (merajuk ni perkataan aku rencah). Juga seorang suami dan ayah, Ajep juga perlu memikirkan masa depannya dari segi kewangan. Bilamana MARDI ada kekosongan dan mencari seorang pereka, Ajep apply. Tahun 2002 Ajep telah ke MARDI dengan rasa sedih meninggalkan dunia animasi.

Raja Azmi dari produksi Anak-Anak Sidek ada offer Ajep masa tu, tapi demi famili dan keadaan ekonomi kurang stabil ketika itu, Ajep prefer untuk ke MARDI. Saya korbankan minat dan fikirkan keluarga kata Ajep.






Gigih dan Cekal
Mencari semula si Ajep ini adalah kerja En Ki sebenarnya. Aku hanya teruja sesekali dia bercerita progress. Dan aku hanya tahu pasal Ajep dari apa yang terkandung dalam draf buku Pak Hassan From Mouse Deer to Mouse. Ajep antara animator Filem Negara Malaysia yang pernah menang award kat Jakarta. Itu saja. Sepanjang aku interview Ajep, aku minat dan kagum dengan cerita hidupnya, dengan skillnya. Tapi itu semua picisan kalau nak bandingkan dengan cerita hidupnya selepas masuk MARDI. Ajep, seterusnya pada tahun 2007, ketika itu berumur 37 tahun telah kembali belajar secara formal di UiTM Lendu...!

* Tahun dan umur pada ketika ini agak blurish sikit, Ajep pun dah tak ingat.

Pada tahun 2010 Ajep lulus dan dianugerahkan Diploma Seni Lukis & Senireka dan kembali ke MARDI untuk berkhidmat. Dua tahun kemudian, Ajep sekali lagi meneruskan pelajaran ke level Ijazah Sarjana dan pada tahun 2014 habis degree programnya. Semua kos pembelajaran dan sara hidup merupakan scholarship dari MARDI.
Antara yang tergantung adalah karya Ajep: Maha SiTua dan
lakaran animator dari Artfarm Studio, Filipina.

Sembanglah dengan ramai. Untuk sambung belajar ketika sudah bekeluarga bukan satu komitmen yang mudah. Apatah lagi masuk U ketika lanjut usia. Lecturer baya adik-adik dan classmate sebaya anak anak kita.

“Masa tu lah lagi banyak cabaran kan,” kenyataan Ajep aku angguk dahi berkerut paham. Kat mana aku paham aku tak tau tapi aku paham.

Meneruskan cerita hidupnya, bilamana MARDI telah luluskan peruntukan untuk dia sambung belajar, Ajep baru sedar dia tak layak masuk UiTM !! English takde. SPMnya dulu, Englishnya kantoi. Congak punya congak akhirnya dia berkeputusan untuk ambik English SPM bersama pelajar tingkatan 5 lain ketika itu. Bayangkan ambik SPM dengan budak-budak SPM ketika itu. Ajep lulus English SPM yang membawanya ke diploma dan seterusnya degree. Orang macam ni, jangan terkejut satu hari nanti akan terus ke masters dan phd.

Sembang diakhir-akhir interview session dengan Ajep, beliau ada bercerita pernah menjadi impiannya untuk menghidupkan cerita ABE. Sapa tak kenal ABE ? ABE, aku boleh kategorikan sebagai graphic novel merupakan terbitan Majalah Ujang, lukisan AiE (respect !) dan cerita oleh Ujang. Ujang yang dikenali ramai kerana kartunnya, bagi aku terlegend kerana story tellingnya..

Ajep juga menyatakan berapa bangga sekarang melihat animasi Malaysia yang kini telah pergi sejauh Lat Kampung Boy, BoBoiBoy dan Upin & Ipin. Banyak lagi boleh berkembang kata Ajep. Setelah menyentuh sedikit isu budaya bangsa dan pengaruh manga masakini, kami pun mula bangun berterima kasih dan mintak diri.

Sang penulis sedang bergaya dalam sembang kosong.

“Datang lah lepas ni aku belanja makan kat sini,” jemput Ajep yang sebenarnya juga nampak teruja berjumpa kami. Tengahari tu, selepas salam-salam dengan Ajep, kami beransur pulang puas dapat merakam satu lagi kisah peribadi juru animasi yang pernah mewarnai sejarah animasi Malaysia.


Hasil karyanya tersimpan kemas.
Ambil perhatian para artisan sekelian !
Kartunis Ajep dan Kartunis Kidol.
Komik mencatat lipatan hidup setelah bergelar
mahasiswa bersama kawan yang jauh lagi muda.

Ini dia buat masa dia ajar kitaorang. Aku
mintak dan simpan.

Bangau Oh Bangau the series yang tidak kesampaian.

Business card Ajep ketika bergelar Pereka di Filem Negara Malaysia
dan hasil karyanya di majalah Tombi.
Bersama Jefri Ajep Adam mengucapkan terima kasih daun keladi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan