Sabtu, 10 September 2016

Juri Best Editing

Aku satu malam tu, dalam dok surfing channel TV aku tersinggah kat satu rancangan anugerah tempatan. Yang mana aku tak ingat (atau mungkin sengaja tidak mahu ingat)

Teringat yang aku pernah tempoh hari diberi mandat menilai hasil karya dokumentari dalam satu pertandingan. Aku menjadi juri untuk menilai best editing. Selepas beberapa belas tahun terlibat dalam dunia yang melibatkan editing baru aku perasan satu benda. Kita sebenarnya tidak akan boleh nilai hasil editing yang baik melalui final product itu sendiri. Betul ke ?

Pertama sekali, editing, acting, shooting, art directing dan directing tergolong dalam satu kelompok yang sama. Duduk bawah satu negara. Bangsa yang lain. Namun bekerja sama antara satu sama lain untuk kebaikan bersama. Berbeza antara encik editing dan encik encik yang lain tidak ketara. Tapi setelah lama kenal baru perasan yang encik editing sebenarnya seorang yang introvert. Yang lain extrovert.

Kita boleh kenal acting. Dia bagus sebab kita nampak. Dia pandai berlakon watak sombong. Matanya, gayanya, kepala yang terdongak-dongak. Cakapnya jangan cakap lah.
Kita senang kenal shooting.

“Siapa DOP sesuai untuk drama seram-seram..? ”

“Oh, try Sipulan Sipuan. Style dia.. Tengok cara dia main space. Hand held dia bagus. Floating cantik,”

Ada istilah-istilah menyokong yang senang kita rungkai. Over shoulder, mid shot, pan, dolly dan macam-macam lagi.

Kita jarang nampak, tapi bila kita perhatikan, kita senang nampak Art Directing. Colour dipilih, lokasi, costume dia pakai. Satu iklan ubat sapu dulu menggambarkan satu famili menggunakan ubat itu. Kakak dalam famili tu begitu menonjol dengan warna baju yang terang garang. Famili lain pakai baju warna macam famili aku. Kuah taruk atas. Melihat sekilas iklan ini aku terus tanya editor bertugas masa tu, “tak de art director ke?”

Kenapa? Pemilihan pakaian dan lokasi, dari look and feel dan dari warnanya berbeza antara satu sama lain. Satu shot nampak mahal, satu shot nampak ekslusif dan satu shot nampak childish dan satu shot nampak macam-macam. Iklan Milo umpamanya bertona hijau putih secara keseluruhannya. Bersesuaian warna produk itu sendiri, Maxis hijau, Celcom biru dan Digi kuning. Itu Art Direction.

Direction, walau susah susah sikit tapi jelas nampak hasilnya. Cerita tu sampai tak ? Ada mood? Ada feel..? semua orang tahu cerita Pak Pandir. Semua orang tahu cerita Hang Tuah. Tapi cara cerita itu berbea beza. Tak semua boleh cerita macam Pak Andak. Cerita Pak Andak hebat mengah-mengah. Pak Pandirnya kurus dengan suara-suaranya sekali. Mak Andeh pula becok dengan tangan-tangannya terhayun. Bila sunyi hanya mata menjeling-jeling. Suara Pak Andak pun halus-halus. Itu directing.

Tapi editing lain sikit.




Alamak, cerita bagus tapi pelakon kaku lah !

Alamak cerita OK tapi direction ntah apa-apa. Aku dah tau ending dia awal-awal lagi.

Art director dia mabuk kot. Kejap 80s, kejap 90s. Pening !

Editing lain sikit.




Editing yang bagus bagai udara kita hirup saban hari. Udara nyaman, kelembapan setara, sama sejak kita lahir sampai sekarang. Ouderless. Kita tak perasan sampai satu hari jerebu. Kita marah! Editing yang bagus kita tak perasan. Sampai la kita tengok satu cerita yang cut dia ntah apa-apa. Tak conti.. jerk.

Editing yang bagus dapat membawa cerita dengan sempurna. Tanpa penonton rasa keliru dengan tempat dan pelakon. Siapa cakap dengan siapa? Kenapa tengah duduk makan di gerai tiba-tiba masuk orang jahat dari pintu kaca restoren 5 bintang? Tadi Tasya pegang mug putih, sekali jadi mug hitam. Fast cut pada scene sedih. Panik yang semuanya long shot. Takde focus. Itu kan bad editing namanya.

Kejap.

Fikir kejap.

Itu bad editing ke itu bad directing? Atau sang penjaga conti lalai dengan mug yang Tasha pegang? Mungkin cameraman penat malam tu, lupa pelbagaikan shot.

Maka untuk menilai karya, kecekapan dan skill seorang editor hanya dari satu hasil akhir, his finished work, amatlah susah. Hampir mustahil. Ketika bertugas menjuri tempoh hari saya diberi beberapa dokumentari dan hasil kerja untuk dinilai. Ada dokumentari yang bersifat banyak temuramah, temanya besar, kupasannya sikit, penceritaannya menyeluruh. Ada yang berpengacara. Pengacara hyper inilah yang memeriahkan cerita. Ada dokumentari berkenaan satu satu event. Event itu pulak hanya berlaku sehari setahun. Lebih tepat lagi, beberapa jam sahaja dalam setahun. Menambahkan susah kerjanya, event luar negara itu melibatkan binatang yang tak boleh di suruh re-take, tidak boleh disuruh hafal skrip apa lagi nak disuruh bercakap! Ada satu dokumentari bersifat umum dan kupasannya tidak boleh atau mungkin sukar (tak boleh rasanya) untuk divisualkan. Apa saja nak divisualkan sedang suara voice over membincangkan berkenaan kemelesetan nilai wang. Takkan gambar duit dan orang meniaga je sepanjang-panjang 44 minit tu? Jenuh. Dokumentari itu tadi pulak, terpaksa terbit kerana disuruh terbit. Ada jangka masa panasnya. Memeriahkan isu semasa.

Dan aku yang pernah terlibat dalam kerja produksi dan pasca produksi ni tau la. Kadang-kadang footage 7 – 8 jam, yang boleh pakai 4 – 5 minit je.

Dan selalunya dokumentari am macam ni, yang shoot dulu story comes later,  editorlah heronya. Cut sana, buang sini, sambung sana, masuk sini, split sana, flip sini..

Lain dengan duco yang ada pengacara, dan membincangkan isu ringan dan terancang. Duco berkenaan roti canai: OK cantik bang, tebar sekali lagi, saya shoot dari bawah pulak.

Lain juga duco berkenaan festival campak limau dalam sungai misalnya. OK nice. Cut! Satu shot lagi. Semua orang kutip balik limau dalam sungai ye. Nak suruh tiga ratus orang tu buat balik..? Diaorang bukan pelakon. Itu live event.

The fact that different kind of ducomentary competes in one category dah susah dah. Ini kan pulak nak menilai mana editing yang lebih bagus. Aku tau, disebalik duco pasal ekonomi dan nilai mata wang, selekehnya shot kejap HD kejap SD, aku dapat rasakan editor itu lah yang paling banyak kerja, paling lama kerja, paling banyak menggunakan skill dan paling banyak hisap rokok. Eh vape. Eh.. rokok. Footage banyak tapi tak cukup, shot tu ada tapi ntah mana, masa tak ade tapi nak esok.. Masalah demi masalah dihadapi, penyelesaian demi penyelesaian ditemukan. Semua menggunakan skill dan kreativiti sang editor malang. Skill yang datang dari bertahun belajar dan bertahun lagi bekerja, kreativiti yang terhasil kerana terasahnya skill dan kerana terpaksa. Tapi editor duco macam ini memang tak akan menang best editor award.

Dan yang menang pun boleh saja dipersoalkan? Shot cantik: DOP power. Story smooth: Director power. Colour cantik: Art Director power. Conti smart: Producer power sebab banyak duit spend boleh split 4 camera !

Tapi betul. Kalau shot tu cantik, memang overall cantik. Editor nak claim apa? Kalau cerita jalan smooth, direction yang bagus, editor nak cakap apa. Itu perihal duco dan drama dan semua-semua genre yang shoot live. Macam mana pulak al-kisah editor satu produk animasi.

Nah! Ini animation director nak bercerita. Animation director yang sudah seratus lebih episodnya. Editor untuk animasi tidak edit. Melainkan hanya memotong sisi kanan dan sisi kiri. Mencantas sikit dari sikit in dan out footage yang dapat. 1 atau 2 frame depan, 1 atau 2 frame belakang. Andai dapat shot dari animator bertahap dewa, memang kerja editor hanya sekadar menyusun dan menyeragamkan suara. Tak sama seperti shoot live yang one more option atau retake nya tidak costly, atau minimal cost. Retake dalam satu shot animasi boleh main hari. Option dalam satu shot animasi boleh main hari 5 ke 6. Maka proses penghasilan karya animasi itu lebih memerlukan seorang pengarah yang berkeyakinan atas kehendaknya. Dia mesti tahu apa yang dia mahu. Dia perlu mampu memberitahu apa yang dia mahu pada storyboard artist dan lantas pada animatornya. Maka hasil animation setiap shot tentulah tepat dan precise. Tapi itu cerita pengarah animasi dewa yang terbang setara animator-animatornya yang dewa. Maka editornya buat kerja cantas cantas saja.

Aku dulunya start bodoh. Sekarang pun belum pandai lagi, tapi dulu lagi belum pandai. Dipasangkan dengan segerombolan animator yang juga start bodoh. (Bezanya dengan aku, diorang berakhir pandai) Maka lintang anak pukanglah shot yang terhasil. Bersungguh sungguh aku menyelamatkan keadaan. Berkerut jualah dahi editor sepanjang malam. Sini nampaklah kepandaian dan kreativiti sang penyunting. Bagaimana 30 shot merapu dan memalukan telah berjaya dijadikan satu scene yang bermaruah. Sedikit maruah. Tapi ada. Kreativiti dan skill sang penyunting sini telah menjayakan episod ini malah menyelamatkan kerja tambahan buat segeromolan animator tadi dan juga menyelamatkan beberapa ribu ringgit duit syarikat sebab aircond tak berlanjutan seminggu depan tu.

Andai susah sangat menilai kreativiti editor dalam karya akhirnya, sudahnya tak perlu ke kita award mereka dalam festival festival filem pelbagai? Tidak jugak.

Cuma pendapat saya cara penilaiannya mungkin boleh berbeza.

Hanya manikam mengenal err..

Kalau ubat, testimoni orang yang dah makan ubat kencing manis jauh lagi kuat dari rekomen anak dara pinggang segenggam berdiri di kiosk kiosk Giant. Kalau kereta, nasihat pomen tidak terampil SKT masih lagi believable dari lecturer jahitan kat Giatmara. Natijah kalau editing,

Dalam memilih pemain terbaik eropah, (ni cerita bola la, eropah mana main sukan lain) yang membuat undian bukanlah penonton. Penonton tahu melalak je. Semua salah. Semua bodoh. Yang membuat undian bukanlah pemain itu sendiri. Bukan juga comentator dan sports critic. Yang membuat undian adalah para jurulatih pasukan dalam Euro. Jurulatih dan pemain semestinya lagi tahu dan lagi nampak kehebatan pemain. Kadang-kadang satu pemain itu mampu lagi sprint kejar bola walau baru saja tadi di tackle kasar ke buku lali. Jurulatih, terutamanya yang bekas pemain bola sendiri, akan tahu komitmen yang diberikan. Usaha yang ditunjukkan. Pemain yang boleh maintain consictency dalam gamenya setelah seminggu mukanya terpampang dalam akhbar bersama pelacur! Itu profesionalisme yang tinggi. Ada bende yang kita nampak remeh, hanya player je tahu. Ada bende yang kita nampak susah, remeh bagi players.

Fuyoo cantik siut. Berapa lama kau buat tu? Kagum orang-orang kebanyakkan melihat transition canggih sang penyunting. Eleh, preset ! Kata Sang penyunting lain. Bukan kah begitu.

Maka the best way to acknkowledge the best editor, and to acknowledge the award itself for that matter, adalah untuk memberi mandat kepada producer dan director, director terutamanya untuk menilai editor-editor tercalon. Atau mereka saja yang mencalonkan editor-editor. Jalan terbaik adalah calonan  yang datang dari director free lance yang sering berlegar merata tempat dan bertemu ramai editor. Director ini lebih tahu kerja editor. Mereka lebih nampak siapa editor dan siapa tukang potong sebenarnya. Siapa kreative dan sapa tukang mengeluh. Freelance director lah yang layak melihat kepada time and money diletakkan dan masa diperuntukkan, editor mana yang terbaik. Siapa tukang angguk dan siapa berotak cair. Perlu juga yang tukang angguk kena pada tempat dan jangan pula si otak cair meleleh leleh sampai lencun. Freelance director lah yang lebih seumpama coach team euro. Mereka bekerja dengan ramai editor. Mereka dapat membezakan kebolehan. Freelance director lah yang layak.

Tapi.

Ada lagi ke freelance director.?


* Happy Birthday My Dad


Tiada ulasan:

Catat Ulasan