Rabu, 23 Julai 2014

‘Si Gila’ dengan Khalifah

Dikisahkan bahawa Buhlul adalah merupakan seorang lelaki gila pada zaman al-Khalifah al-’Abbasi Harun Ar-Rasyid. Pada suatu hari, Harun Ar-Rasyid lalu berdekatan dengannya. Ketika itu dia sedang duduk di sisi kubur. Harun Ar-Rasyid berkata kepadanya dalam keadaan menghina: “Wahai Buhlul, wahai si gila, bilalah kamu ni akan ada akal?”

Buhlul pun memanjat sebatang pokok sehingga sampai ke tempat yang paling tinggi. Kemudian dia menyeru Harun Ar-Rasyid dengan sekuat-kuat suaranya: “Wahai Harun, wahai si gila, bilalah kamu ni akan ada akal?”

Harun Ar-Rasyid pun pergi ke bawah pokok tersebut sambil menunggang kudanya. Harun Ar-Rasyid berkata kepada Buhlul: “Aku yang gila atau engkau yang gila yang berada di atas pokok?”

Buhlul berkata kepada Harun: “Aku ada akal”.

Harun Ar-Rasyid bertanya: “Bagaimana kamu mengatakan kamu ada akal?”

Buhlul menjawab: “Aku ada akal dan tidak gila kerana aku tahu bahawa benda ni akan hilang (sambil dia menunjukkan ke arah istana Harun Ar-Rasyid) dan benda ini akan kekal (sambil dia menunjukkan ke arah kubur). Maka aku telah mengimarahkan ini (kubur) sebelum ini (dunia dan nikmatnya). Manakala kamu pula sesungguhnya telah mengimarahkan yang ini (dimaksudkan istana) dan kamu telah merosakkan yang ini (dimaksudkan kubur). Kamu benci untuk berpindah daripada tempat yang kamu makmurkan kepada tempat yang kamu rosakkan sedangkan kamu tahu bahawa kubur itulah tempat kamu kembali bahkan tidak mustahil lagi.”

Buhlul pun berkata: “Katakanlah kepadaku siapakah di antara kita yang gila sebenarnya?”

Gementar hati Harun ar-Rasyid dan dia menangis sehingga basah janggutnya. Lalu dia berkata: “Demi Allah, sesungguhnya engkau benar.”

Kemudian Harun Ar-Rasyid berkata: “Tambahkanlah nasihat untukku ya Buhlul.”

Buhlul berkata: “Cukuplah bagimu Kitab Allah maka berpegang teguhlah dengannya.”

Harun Ar-Rasyid berkata: “Adakah kamu ada sesuatu hajat, aku akan tunaikannya.”

Buhlul berkata: “Ya, aku ada tiga hajat. Jika kamu menunaikannya, aku berterima kasih kepadamu.”

Harun Ar-Rasyid berkata: “Mintalah hajatmu itu.”

Buhlul pun berkata: “Engkau tambahkan umurku.”

Jawab Harun Ar-Rasyid: “Aku tak mampu.”

Buhlul berkata lagi: “Kamu selamatkan aku daripada Malaikat Maut.”

Jawab Harun Ar-Rasyid: “Aku tak mampu.”

Buhlul berkata lagi: “Engkau masukkan aku ke dalam Syurga dan jauhkan aku daripada Neraka.”

Jawab Harun Ar-Rasyid: “Aku tak mampu.”

Buhlul berkata: “Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya engkau adalah ‘mamluk’ (yang dimiliki) dan engkau bukanlah ‘malik’ (yang memiliki). Aku tiada apa-apa hajat di sisimu.”


Sumber dari terjemahan: كتاب عقلاء المجانين

Tiada ulasan:

Catat Ulasan